Thursday, February 5, 2009

Belanja sakan di Bandung

Oleh Roslan Ibrahim
lann@nstp.com.my


"PELANCONG Malaysia jika tidak dapat membeli-belah, boleh tarik muka masam.

"PELANCONG Malaysia jika tidak dapat membeli-belah, boleh tarik muka masam.

"Justeru, jika sehari suntuk membeli-belah pun mereka tidak kisah," kata pemandu pelancong, Widjanarko Suwandhi atau lebih dikenali Pak Wiwid.


Pak Wiwid, 50, yang sering membawa pelancong ke Jakarta dan Bandung, Indonesia sudah masak dengan perangai pelancong Malaysia yang gemar membeli-belah.

Justeru, agenda penting setiap kali pelancong Malaysia datang ke Indonesia ialah membeli-belah.

Lawatan ke acara kebudayaan, muzium, melihat gunung berapi atau pameran hanya untuk mengisi masa terluang dalam aturcara.

Keghairahan pelancong Malaysia membeli-belah di Indonesia bukan pelik jika mengambil kira Ringgit Malaysia (RM) lebih tinggi berbanding rupiah, harga murah, banyak tempat membeli-belah, mudah berkomunikasi dan keseronokan tawar-menawar.

Bukan sesuatu yang menghairankan jika sesuatu barang boleh ditawar atau diskon (bahasa Indonesia) sehingga 70 peratus dari harga asal.

Daripada produk jeans yang beraneka jenis di sepanjang Jalan Cihampelas, produk dan premis di Bandung berkembang seperti cendawan selepas hujan.

Usah mengimpikan jeans jenama mahal kerana di sini produk berkenaan dihasilkan penduduk tempatan dan dijual secara terus kepada pelancong (barangan kilang).

Jangan terkejut melihat patung gergasi Superman, Goku, Rambo dan bintang Hollywood terkenal lain berdiri gagah di hadapan kedai produk jeans.

Barangan kulit mudah didapati di sekitar Cibaduyut termasuk kasut, beg dan pelbagai aksesori lain dengan harga yang murah dan berpatutan.

Anda boleh mendapatkan beg buatan tangan jenama Elizabeth yang terkenal di Bandung di Jalan Otto Iskandar Dinata.

Barangan kilang adalah antara tarikan utama ke kota Bandung. Kebanyakan barangan tektil adalah untuk eksport tetapi pengusaha mendirikan premis untuk menjual secara terus kepada pelanggan dan boleh tawar menawar.

Jangan terkejut kerana ada produk yang dijual dikategorikan gred A atau B kerana ia memang untuk eksport seperti jenama beg tangan Gap.

Jika beg tangan sedemikian untuk eksport, harganya mungkin USD$65 tetapi di Bandung, ia dijual dengan harga Rp45,000 (RM15)

Harga yang murah dan berkualiti menyebabkan premis menjual barangan kulit dan jeans di Bandung menjadi tumpuan di dalam dan luar negara.

"Memang biasa di kalangan pelancong Malaysia jika datang membawa satu beg sorong tetapi apabila pulang ada tiga beg yang mengikut dari belakang," kata Pak Wiwid sambil tersenyum.

Kos pekerja, sewa dan bahan mentah yang murah menyebabkan produk sedemikian boleh dijual dengan harga rendah.

Malah, ramai peniaga Malaysia mengambil barangan kulit dan jeans daripada Bandung untuk dipasarkan di negara ini.

Kebanyakan premis barangan kilang (factory outlet) terdapat di Jalan Riau, Jalan Dago, Jalan Sukajadi dan sekitar Jalan Setiabudi.

Antara yang terkenal ialah Heritage, Cascade, Summit, Oasis, Metropolitan, Secret, Terminal Tas, Edward Forrer, Stamp, Rumah Mode, Cargo, Cosmo dan Diaz.

Selain syurga membeli belah, Bandung juga tidak kurang hebat dengan pelbagai aneka juadah tempatan dan antarabangsa.

Dari nasi padang, makanan Sunda, bakso, batagor, martabak, soto, lotek, mi kocok, mi ayam, nasi timbel, mi naripan, laksa, sate dan nasi uduk hingga kepada minuman yang menyegarkan tekak.

Dengan belanja di antara Rp20,000 hingga Rp100,000 anda boleh makan dan minum dengan puas bersama keluarga.

Jika mahu menikmati makanan ikan bakar ala Sunda dengan suasana persekitaran ala kampung, anda boleh mencubanya di Kampung Daun Jalan Sersan Bajuri.

Bayangkan bagaimana berselera anda menikmati juadah di pondok kecil beratap rumbia dan ditemani dengan deruan air terjun semulajadi.

Jika mahu ditulis satu buku mengenai makanan dan minuman di Bandung pasti tidak cukup kerana setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza.

Tetapi, di sini bukan tempatnya jika mahu mencari mi Bandung atau air sirap Bandung kerana peniaganya pasti menggeleng kepala.

Mengenai penginapan, ia bukan masalah besar kerana Bandung mempunyai hotel dari dua bintang hingga lima bintang.

Jika mahu mencari sedikit kedamaian selepas sehari suntuk membeli-belah, anda boleh mengunjungi Gunung Tangkuban Perahu untuk melihat kawah gunung berapi yang masih aktif.

Turun dari situ, jangan lupa singgah di kawasan air panas semulajadi di Sari Ater. Jika mempunyai masa, anda boleh mandi manda di air terjun Maribaya.

Di Selatan terutama sekitar Pangalengan mempunyai suhu dingin dan terkenal dengan ladang teh. Sambil menikmati kehangatan teh, anda boleh memancing atau berkhemah bersama keluarga di Kawah Putih.

BAGAIMANA KE SANA

Perjalanan terus menggunakan pesawat dari Kuala Lumpur. Air Asia menyediakan penerbangan terus ke Bandung tetapi tempatnya terhad.

Justeru, anda bagi mengelak menunggu yang lama, anda boleh mengambil penerbangan Kuala Lumpur-Jakarta dan menggunakan bas atau teksi ke Bandung.

Pesawat

Jika menggunakan perjalanan udara ke Bandung, pesawat akan mendarat di Lapangan Terbang Hussein Sastranegara. Namun, kawasan pendaratan agak terhad kerana dikelilingi gunung. Ia hanya sesuai untuk pesawat kecil.

Kebanyakan syarikat penerbangan menawarkan perjalanan ke Jakarta sebelum mengambil kenderaan darat ke Bandung.

Bas

Anda boleh menggunakan bas berhawa dingin tanpa henti dari Jakarta ke Bandung. Ia mengambil masa kira-kira tiga jam. Terminal bas di Bandung ialah Leuwipanjang dan Cicaheum.

Lebih selesa menggunakan mini van yang boleh memuatkan tujuh hingga 10 penumpang yang bertolak setiap beberapa minit.

Anda boleh menyewa kenderaan dari Jakarta ke Bandung untuk tempoh beberapa hari dengan harga di antara RM200 hingga RM300.

Kereta

Perjalanan menggunakan kereta lebih cepat, kira-kira dua jam dari Jakarta yang menggunakan lebuh raya bertol Cipularang.

Di musim hujan, beberapa bahagian lebuh raya itu mungkin ditutup kerana tanah runtuh. Manakala, pada hari minggu, kesesakan mungkin berlaku sebelum tempat pembayaran tol di Djunjunan.

Jika berkereta, anda boleh menggunakan laluan Jakarta-Cianjur-Bandung. Jika mengikut laluan ini, pastikan anda singgah di Puncak, kawasan tanah tinggi yang memang terkenal di Indonesia.

Laluan ini turut membawa anda ke Taman Safari Indonesia di Jalan Raya Puncak.

Keretapi

Syarikat PT Kereta Api Indonesia menyediakan perkhidmatan dari Jakarta ke Bandung dan Surabaya.

Nusa Leisure Travel tawar pakej murah






SYARIKAT agensi pelancongan, Nusaleisure Travel Sdn Bhd memberi fokus kepada pakej pelancongan ke Indonesia kerana ia mendapat sambutan baik rakyat negara ini.

Pengurusnya, Nazeran Jusoh, berkata kos melancong ke Indonesia lebih murah berbanding destinasi lain selain persamaan dari segi bahasa dan budaya.


Beliau berkata, antara lokasi yang ditawarkan ialah Jakarta, Bandung, Bali, Jogjakarta, Solo, Surabaya, Medan, Palembang, Padang, Bukit Tinggi dan Aceh.

“Indonesia ialah lokasi membeli-belah paling murah bagi rakyat Malaysia di luar negara.

"Indonesia menjadi pilihan kerana ia negara serumpun dan mempunyai banyak persamaan terutama dari segi agama, bahasa, kebudayaan dan makanan.

"Pelancong Malaysia tidak akan berdepan banyak masalah selain penerbangan dari Malaysia ke destinasi itu banyak dan mudah," katanya.

Nusaleisure Travel menawarkan pakej murah antara RM700 hingga RM1,500 bergantung kepada lokasi pelancongan dan jenis penginapan di hotel.

Nazeran berkata, pihaknya dapat menawarkan pakej murah ke Indonesia kerana mengendalikan secara terus pembelian tiket, hotel, makanan dan pengangkutan di Indonesia.

“Saya mempunyai pejabat di Medan, Indonesia yang membolehkan urusan pakej melancong ke negara jiran itu dapat dikendalikan dengan baik.

Syarikat itu mengendalikan kira-kira tiga pakej ke Indonesia setiap minggu malah jumlah itu bertambah apabila cuti persekolahan dan musim perayaan.

“Kebanyakan agensi pelancongan tempatan turut menggunakan perkhidmatan kami untuk pakej ke Indonesia kerana kita mempunyai prasarana dan kemudahan di Indonesia,” katanya.

Selain agensi kerajaan, keluarga dan individu, banyak institut pengajian tinggi (IPT) menggunakan perkhidmatan syarikat itu.

“Nusaleisure menawarkan pakej melancong ke Indonesia dari dua orang dan mereka boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong dan pengangkutan yang disediakan atau bebas.

“Kami akan membawa ke beberapa destinasi yang menjadi tumpuan, misalnya untuk pakej Jakarta-Bandung, pelancong turut berpeluang membeli belah di Mangga Dua, Jakarta.

“Kami mahu pelancong merasa semua tempat untuk membeli belah supaya apabila balik ke Malaysia, mereka tidak kecewa kerana tidak dapat ke tempat yang diinginkan,” katanya.

Sementara itu, pihaknya bercadang mengadakan pakej Program 70 ke Shanghai, China atau Kemboja sebelum Ramadan ini.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut pakej yang ditawarkan Nusaleisure Travel Sdn Bhd, hubungi talian 019-3829202, 03-87338202 atau layari laman web www.nusatra.com


Petikan

Harian Metro, 5 Feb 2009.

Thursday, January 22, 2009

Medan Menjadi Tumpuan

Oleh Hartini Mohd Nawi
tini@hmetro.com.my


MEDAN di Sumatera Utara, Indonesia antara lokasi percutian menarik untuk dikunjungi kerana pelbagai pengalaman baru boleh ditimba apatah lagi kehidupan masyarakatnya berbeza.

MEDAN di Sumatera Utara, Indonesia antara lokasi percutian menarik untuk dikunjungi kerana pelbagai pengalaman baru boleh ditimba apatah lagi kehidupan masyarakatnya berbeza.

Firefly, anak syarikat milik penuh Penerbangan Malaysia (MAS), terbang ke Medan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.


Penerbangan sekali sehari itu mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di Lapangan Terbang Polonia, Medan.

Bagi berkongsi pengalaman menarik, Firefly membawa rombongan media dan ejen pelancongan Malaysia ke Medan, Danau Toba dan Berastagi selama lima hari empat malam.

Medan antara bandar sibuk dan padat. Di sini letaknya Istana Maimoon dan Masjid Raya Al-Mashun yang menjadi bukti kesultanan Deli yang memerintah pada 1888.

Istana Maimon agak unik dan kaya dengan seni ukiran daripada dinding, serambi hinggalah kepada perabotnya sekali gus menyerlahkan nilai estetika tersendiri.

Tidak lengkap kunjungan anda jika tidak berkunjung ke tasik Danau Toba, kira-kira empat jam dari Kota Medan.

Sejarahnya bermula apabila Gunung Toba meletup sekitar 74,000 tahun lalu. Letupan kuat itu melenyapkan gunung berkenaan.

Kini, hanya tinggal sebuah danau cantik dan luas yang dikenali Danau Toba, salah satu tumpuan pelancong menarik di Sumatera Utara.

Justeru, danau itu adalah bekas kawah gunung berapi terbesar di dunia. Panjang Danau Toba ialah 100 kilometer dan 30 kilometer lebar dengan pembentukan batu berbentuk pulau dikenali Pulau Samosir.

Peninggalan daripada letusan gunung itu kini didiami kebanyakannya masyarakat berketurunan Batak.

Di Pulau Samosir, Toledo Inn antara lokasi penginapan terbaik kerana bukan sekadar terletak di tengah Danau Toba, malah binaan dan reka bentuk biliknya membawa anda mengenali kebudayaan masyarakat Batak.

Berhampiran Teledo Inn yang dikenali sebagai Kampung Tuk-Tuk itu, banyak penginapan bajet berlatarkan reka bentuk kediaman masyarakat Batak.

Bagi anda yang ingin melihat perkampungan dan corak hidup masyarakat berkenaan, kunjungan ke Kampung Ambarita dan Tomok tentunya tidak dilepaskan.

Di dua perkampungan yang wujud ratusan tahun dulu itu, pelbagai cenderahati termasuk baju-T, kraftangan dan kalendar Batak dijual.

Berhati-hati ketika membeli-belah kerana jika tersilap percaturan anda tentu terbeli barangan yang dijual mahal.

Kampung Ambarita memaparkan suasana sebenar kehidupan masyarakat Batak dapat disaksikan apatah lagi rumah contoh disediakan untuk tatapan umum.

Kunjungan ke Air Terjun Sipiso-piso pula yang membawa maksud pisau kerana air terjun berkenaan menyerupai pisau.

“Berada di pergunungan Berastagi, nikmati kelazatan pelbagai buah-buahan tempatan.

“Ada juga boleh merasai pengalaman menaiki kuda sekitar pekan Berastagi,” kata pemandu pelancong dari Narasindo Tour, Sudy R J.

Singgah seketika di kaki Gunung Sibayak untuk melihat sendiri keadaan gunung berapi yang mengeluarkan asap dan pernah meletus pada 1937.

Air panas yang mengalir dari gunung berkenaan dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit selain menjadi lokasi santai masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Media Firefly, Herman Mizar Azmi, berkata kunjungan media dan ejen pelancongan Malaysia ke Medan itu bagi mempromosikan keunikan lokasi berkenaan yang berlatarkan keunikan sejarah gunung berapinya.

“Pengalaman berbeza yang ditimba setiap wakil media dan ejen pelancongan yang mengikuti lawatan ini pastinya menterjemahkan pelbagai cerita untuk diuar-uarkan kepada masyarakat negara ini

“Lagipun Firefly sentiasa menawarkan pakej penerbangan yang murah dan merealisasikan impian sesiapa saja ke Medan serta lokasi lain,” katanya.

Wednesday, January 14, 2009

Jogja sarat budaya Jawa

BEBERAPA minit sebelum pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adisut Jipto, Jogjakarta, saya dapat melihat dengan jelas pemandangan dari udara kota yang berusia lebih 200 tahun itu.

Saya tertanya-tanya, selain bangunan lama serta candi di kota yang akan menyambut ulang tahun ke-252 Oktober ini, apa lagi daya tarikan di situ sehingga menjadi tumpuan pelancong ke Indonesia.


Dan selama beberapa hari di sana atas jemputan Jabatan Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Jogjakarta, saya mendapat jawapan bagi soalan itu.

Di sebalik kepelbagaian tempat menarik untuk dikunjungi, keramahan penduduknya membuatkan pengunjung tidak kekok malah 'tertawan' dengan keadaan di sana walaupun pertama kali menjejak kaki ke Jogjakarta.

Di sana, penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Jawa yang mempunyai kelainan budaya dan bahasa sentiasa menyambut pelancong dengan senyuman.

Jogjakarta juga dikenali Yogyakarta, Yogya dan Jogja terkenal sebagai pusat budaya dan seni masyarakat Jawa yang ditadbir Sultan yang juga Gabenor di tempat itu. Beliau dikenali dengan nama Sultan Hamengkubuwono ke-10.

Ia memiliki kepelbagaian tempat pelancongan bermula daripada Gunung Merapi, keindahan pantai, kesenian dan kebudayaan, kraton atau istana Sultan serta candi purba.

Bagi penganut Buddha, Candi Borobudur, kira-kira 42 kilometer barat laut Jogjakarta menjadi tumpuan terutama jika ada perayaan seperti Hari Wesak.

Jika Candi Borobudur terkenal untuk masyarakat beragama Buddha, Candi Prambanan pula dibina penganut Hindu sekitar abad ke-9 turut menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Pelancong juga boleh melawat Istana Air Taman Sari yang pernah digunakan Sultan Hamengkubuwono pertama tetapi kini menjadi antara lokasi kunjungan selepas ditinggalkan selepas Gunung Merapi meletup pada 1814.

Pelancong yang mahu melihat seni bina tradisional Jawa boleh melawat Istana Sultan atau Kraton.

Kraton hanya dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 2 petang Isnin hingga Sabtu dan 8.30 pagi hingga 1 petang pada Jumaat kerana sulatan masih menggunakan istana berkenaan.

Jika mahu membeli-belah, anda boleh mendapati pelbagai barangan seperti batik, kraftangan, tembikar dan barangan perak di pasar Malioboro. Jika bijak tawar menawar, anda boleh mendapat harga lebih murah.

Panduannya mudah, minta diskaun sehingga 50 peratus daripada harga barangan itu.

Tetapi jika anda mencari batik berkualiti tinggi, lokasinya ialah Muzium Lingkungan Batik Imogiri-Bantul manakala Kotagede terkenal dengan barangan kraftangan daripada perak.

Pasar Ngasem pula menjual pelbagai spesies haiwan termasuk burung, ular, monyet dan tupai.

Kunjungan ke Jogjakarta sesuatu yang berbaloi dan jika ada peluang, saya akan ke sana lagi.

Petikan - harian Metro

Lawat Kubur mangsa Tsunami

PERJALANAN selama 16 jam di jalan sempit yang ber liku-liku kira-kira 648 Kilometer (km) dari Medan ke Banda Aceh di Sumatra Utara, Indonesia tidak mudah untuk dilupakan.

Walaupun jalan berkenaan sempit dan sibuk dengan pel bagai kenderaan, sikap pemandu dan penggunanya memang berdisiplin.


Pemandu pelancong, Lilik Suripto, 51, berkata pemandu lebih berhati-hati ketika di jalan raya dan mengelak terbabit dalam kemalangan.

“Dalam keadaan sekarang ekonomi agak meruncing, elak daripada membuang wang,” katanya.

Banda Aceh masih tidak banyak berubah selepas dilanda tsunami pada Disember 2004. Apa yang tinggal adalah runtuhan kediaman dan kedai selain kubur besar me nempatkan mangsa bencana itu.

Sebahagian besar bangunannya tidak dibaiki manakala penduduknya meneruskan kehidupan harian seolah-olah tragedi mengorbankan ratusan ribu nyawa itu tidak pernah berlaku.

Di Kampung Punge Jurong, kapal seberat 2,600 tan masih tersadai di tengah kampung itu walaupun kedudukannya berkenaan kira-kira lima km dari laut.

Kapal sepanjang 63 meter dan lebar 19 meter itu dikatakan berlabuh tidak jauh dari jeti, dihanyutkan gelombang tsunami ke tengah kampung. Kini, ia menjadi mercu tanda yang menarik kunjungan pelancong.

Ada yang mengatakan, ada beberapa kenderaan dan rumah kediaman tersepit di bawah kapal sehingga ramai yang menemui ajal di bawahnya.

Bagaimanapun, pengunjung tidak dibenarkan menaiki ka pal itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Tidak jauh dari lokasi kapal ini, ada kubur besar yang menempatkan kira-kira 3,000 mangsa tsunami yang tidak dapat dikenal pasti.

Bagaimanapun kawasan perkuburan seluas kira-kira 0.5 hektar itu kini menjadi kawasan larangan.

Agak sukar merakamkan gambar dari sudut tinggi kerana di Banda Aceh tidak terdapat bangunan tinggi, kebanyakan bangunannya ialah dua atau tiga tingkat saja.

Sebelum penulis beredar dari Kampung Punge seorang penduduk secara berseloroh memberitahu kapal tersadai itu akan dialihkan ke tengah laut sekiranya berlaku tsunami berikutnya.

Satu lagi yang menjadi kenangan penulis ialah masjid yang begitu banyak sepanjang perjalanan itu sejauh kira-kira 648 km itu. Secara purata, ada tiga masjid untuk setiap dua km.

Bebek Bakar di Jakarta

SUDAH beberapa kali mengunjungi Jakarta, tetapi masih banyak yang belum sempat penulis terokai di antara bandar dengan kepadatan penduduk paling tinggi di dunia itu.

Berbanding kunjungan terdahulu, lawatan kali ini memberikan pengalaman berbeza kerana kebetulan pada minggu pertama masyarakat Islam berpuasa. Ini memberikan penulis peluang melihat sendiri kemeriahan warga Indonesia menyambut Ramadan.


Sepanjang perjalanan menaiki bajai (kenderaan penumpang bermotor seperti tuk tuk di Thailand) dari stesen Gambir ke hotel penginapan di Jalan Jaksa, penulis dapat melihat jalan Jakarta sibuk seperti biasa.

Yang menarik perhatian ialah rakyatnya sama ada Islam atau bukan Islam bebas makan di tempat awam, tiada tangkapan pihak berkuasa agama Islam seperti di Malaysia.

Berikutan Indonesia memiliki lebih 300 suku etnik dan menggunakan bahasa pertuturan sama, memang sukar mengenal pasti sama ada seseorang itu Islam atau sebaliknya.

Kafe seperti Starbucks dan Coffee Bean umpamanya dipenuhi oleh golongan muda berbangsa Cina, Betawi, dan mereka yang tidak berpuasa.

Keesokan harinya, penulis mengunjungi kawasan elit di sekitar Kemang, Kuningan dan Bintaro. yang menjadi tumpuan golongan ekspatriat di Jakarta.

Daerah ini terkenal dengan deretan butik berjenama, kedai antik dan pelbagai pub, kafe dan restoran yang ada dibuka dalam banglo lama.

Di tengah Jakarta, toko dan gedung terkemuka dibanjiri oleh orang ramai yang ingin mendapatkan diskaun istimewa. Sesuatu yang harus dipuji ialah kebanyakan penguasa memasang kain rentang bagi mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa.

Selepas waktu tengah hari, bazar di Jalan Sabang sesak dengan kunjungan pekerja pejabat untuk membeli juadah berbuka. Bazar yang dikunjungi segenap lapisan masyarakat ini meriah dengan hidangan seperti bebek bakar (itik bakar), pecel lele (ikan keli), sate padang dan sup kambing.

Kemang Food Festival pula menjadi golongan berada dan kelompok selebriti untuk menjamu selera. Kebanyakan restoran ini menampilkan hidangan “ala carte” dalam suasana “fine dining” untuk majlis berbuka puasa.

Golongan miskin juga tidak mahu ketinggalan menyambut kemeriahan Ramadan. Ada yang memenuhi masjid untuk berbuka sebelum bersembahyang tarawih. Selepas tarawih, ada pula kumpulan penyanyi yang berarak di sekitar Jakarta bagi membangunkan warganya untuk sahur.

Menariknya, dalam keghairahan membeli, penulis diingatkan oleh rakan berbangsa Indonesia supaya berhati-hati apabila ada warung tepi jalan yang menjual baki makanan bufet yang didapatkan daripada hotel sekitar Jakarta.

Petikan - Harian Metro

Medan Syurga Beli Belah

Kota Medan menawarkan pelbagai barangan dengan kadar yang murah selain pelbagai barangan kulit asli dan fabrik khususnya kain batik bermutu tinggi, pastinya memikat pengunjung untuk berbelanja besar.

Anda pasti terperanjat peniaga di seberang turut menjadikan nama besar selebriti tanah air seperti Mawi dan Sheila Majid untuk memancing pelancong dari Malaysia mengunjungi gerai mereka.


Namun, ramai berpendapat Medan di Sumatera Utara, Indonesia kini bukan lagi kawasan tumpuan beli-belah. Ini berikutan harga ditawarkan tidak semurah dulu, tetapi sekiranya bijak menawar maka barangan yang dibeli itu memang berbaloi.

Pengalaman menarik penulis ketika membeli-belah di toko yang bukan saja menjual pelbagai barangan jeans dan kulit tetapi membuat kasut dan menggunakan tanda perniagaan 'Made in USA'. Menariknya, apabila ditanya, pantas pemilik menjawab, 'Usaha Sendiri Aja'.

Medan memang bandar sibuk dan padat. Di sini juga letaknya sebuah istana lama kepunyaan Sultan, Istana Maimoon dan Masjid Raya yang menjadi satu-satunya peninggalan kesultanan Deli yang memerintah pada 1888.

Istana Maimon agak unik dan kaya dengan seni ukiran yang menghiasi dinding, serambi hinggalah kepada perabotnya yang penuh dengan ukiran yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Malah, istana yang berusia hampir 150 tahun itu turut mempunyai pelbagai lampu hiasan pelbagai warna yang begitu menakjubkan.

Destinasi berikutnya penulis mengunjungi Berastagi, satu lagi pergunungan berapi yang masih aktif. Oleh kerana jaraknya hanya dua jam dari Medan, penulis mengambil keputusan menyewa van kerana mahu kembali semula ke Medan.

Kembali ke Medan, kami meneroka kehidupan malam di kota ini.

Banyak penjaja dan pemilik kedai berketurunan Batak, manakala bakinya datang dari daerah berhampiran termasuk Bandung. Terkejut seketika apabila ada penjaja yang menjual babi panggang di bahu jalan. Tetapi itulah realiti negara jiran yang mempunyai ratusan etnik, suku kaum dan agama.