Wednesday, January 14, 2009

Bebek Bakar di Jakarta

SUDAH beberapa kali mengunjungi Jakarta, tetapi masih banyak yang belum sempat penulis terokai di antara bandar dengan kepadatan penduduk paling tinggi di dunia itu.

Berbanding kunjungan terdahulu, lawatan kali ini memberikan pengalaman berbeza kerana kebetulan pada minggu pertama masyarakat Islam berpuasa. Ini memberikan penulis peluang melihat sendiri kemeriahan warga Indonesia menyambut Ramadan.


Sepanjang perjalanan menaiki bajai (kenderaan penumpang bermotor seperti tuk tuk di Thailand) dari stesen Gambir ke hotel penginapan di Jalan Jaksa, penulis dapat melihat jalan Jakarta sibuk seperti biasa.

Yang menarik perhatian ialah rakyatnya sama ada Islam atau bukan Islam bebas makan di tempat awam, tiada tangkapan pihak berkuasa agama Islam seperti di Malaysia.

Berikutan Indonesia memiliki lebih 300 suku etnik dan menggunakan bahasa pertuturan sama, memang sukar mengenal pasti sama ada seseorang itu Islam atau sebaliknya.

Kafe seperti Starbucks dan Coffee Bean umpamanya dipenuhi oleh golongan muda berbangsa Cina, Betawi, dan mereka yang tidak berpuasa.

Keesokan harinya, penulis mengunjungi kawasan elit di sekitar Kemang, Kuningan dan Bintaro. yang menjadi tumpuan golongan ekspatriat di Jakarta.

Daerah ini terkenal dengan deretan butik berjenama, kedai antik dan pelbagai pub, kafe dan restoran yang ada dibuka dalam banglo lama.

Di tengah Jakarta, toko dan gedung terkemuka dibanjiri oleh orang ramai yang ingin mendapatkan diskaun istimewa. Sesuatu yang harus dipuji ialah kebanyakan penguasa memasang kain rentang bagi mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa.

Selepas waktu tengah hari, bazar di Jalan Sabang sesak dengan kunjungan pekerja pejabat untuk membeli juadah berbuka. Bazar yang dikunjungi segenap lapisan masyarakat ini meriah dengan hidangan seperti bebek bakar (itik bakar), pecel lele (ikan keli), sate padang dan sup kambing.

Kemang Food Festival pula menjadi golongan berada dan kelompok selebriti untuk menjamu selera. Kebanyakan restoran ini menampilkan hidangan “ala carte” dalam suasana “fine dining” untuk majlis berbuka puasa.

Golongan miskin juga tidak mahu ketinggalan menyambut kemeriahan Ramadan. Ada yang memenuhi masjid untuk berbuka sebelum bersembahyang tarawih. Selepas tarawih, ada pula kumpulan penyanyi yang berarak di sekitar Jakarta bagi membangunkan warganya untuk sahur.

Menariknya, dalam keghairahan membeli, penulis diingatkan oleh rakan berbangsa Indonesia supaya berhati-hati apabila ada warung tepi jalan yang menjual baki makanan bufet yang didapatkan daripada hotel sekitar Jakarta.

Petikan - Harian Metro

No comments:

Post a Comment