Wednesday, January 14, 2009

Medan Syurga Beli Belah

Kota Medan menawarkan pelbagai barangan dengan kadar yang murah selain pelbagai barangan kulit asli dan fabrik khususnya kain batik bermutu tinggi, pastinya memikat pengunjung untuk berbelanja besar.

Anda pasti terperanjat peniaga di seberang turut menjadikan nama besar selebriti tanah air seperti Mawi dan Sheila Majid untuk memancing pelancong dari Malaysia mengunjungi gerai mereka.


Namun, ramai berpendapat Medan di Sumatera Utara, Indonesia kini bukan lagi kawasan tumpuan beli-belah. Ini berikutan harga ditawarkan tidak semurah dulu, tetapi sekiranya bijak menawar maka barangan yang dibeli itu memang berbaloi.

Pengalaman menarik penulis ketika membeli-belah di toko yang bukan saja menjual pelbagai barangan jeans dan kulit tetapi membuat kasut dan menggunakan tanda perniagaan 'Made in USA'. Menariknya, apabila ditanya, pantas pemilik menjawab, 'Usaha Sendiri Aja'.

Medan memang bandar sibuk dan padat. Di sini juga letaknya sebuah istana lama kepunyaan Sultan, Istana Maimoon dan Masjid Raya yang menjadi satu-satunya peninggalan kesultanan Deli yang memerintah pada 1888.

Istana Maimon agak unik dan kaya dengan seni ukiran yang menghiasi dinding, serambi hinggalah kepada perabotnya yang penuh dengan ukiran yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Malah, istana yang berusia hampir 150 tahun itu turut mempunyai pelbagai lampu hiasan pelbagai warna yang begitu menakjubkan.

Destinasi berikutnya penulis mengunjungi Berastagi, satu lagi pergunungan berapi yang masih aktif. Oleh kerana jaraknya hanya dua jam dari Medan, penulis mengambil keputusan menyewa van kerana mahu kembali semula ke Medan.

Kembali ke Medan, kami meneroka kehidupan malam di kota ini.

Banyak penjaja dan pemilik kedai berketurunan Batak, manakala bakinya datang dari daerah berhampiran termasuk Bandung. Terkejut seketika apabila ada penjaja yang menjual babi panggang di bahu jalan. Tetapi itulah realiti negara jiran yang mempunyai ratusan etnik, suku kaum dan agama.

No comments:

Post a Comment