Thursday, January 8, 2009

Warna Hijau Kota Padang

PERCUTIAN ke wilayah Sumatera Barat, memang memberikan pengalaman berbeza berbanding berkunjung ke daerah pelancongan lain di Indonesia.
Ini kerana sebahagian besar penduduk wilayah seluas 43,297 kilometer persegi itu terdiri daripada masyarakat Minangkabau yang beragama Islam.

PERCUTIAN ke wilayah Sumatera Barat, memang memberikan pengalaman berbeza berbanding berkunjung ke daerah pelancongan lain di Indonesia.

Ini kerana sebahagian besar penduduk wilayah seluas 43,297 kilometer persegi itu terdiri daripada masyarakat Minangkabau yang beragama Islam.


Pertuturan penduduk di sini juga menggunakan dialek Minang, bukannya bahasa Indonesia.

Justeru, ia terasa dekat dengan masyarakat Malaysia yang turut mempunyai etnik keturunan Minang. Malah, amat mudah untuk mendapatkan makanan halal di wilayah ini.

Apa yang pasti, Padang dan Bukit Tinggi adalah destinasi pelancongan wajib jika berkunjung ke wilayah itu. Padang yang menghadap Lautan Hindi, bandar terbesar dan ibu negeri Sumatera Barat manakala Bukit Tinggi di ketinggian 1,000 meter dari aras laut destinasi pelancongan tanah tinggi cukup menarik.

Sebelum menjejakkan kaki ke bumi Sumatera Barat, ciri Minangkabau sudah terserlah menerusi keunikan bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Minangkabau, Padang.

Dari tingkap pesawat, bentuk bumbung Minangkabau lapangan terbang berkenaan yang melengkung tajam di kedua-dua belah hujungnya menyerupai tanduk kerbau, menyerlahkan identiti Minangkabau di wilayah berkenaan.

Penduduk wilayah itu juga masih kuat berpegang kepada Adat Perpatih seperti harta pusaka, gelaran dan nama suku diturunkan menurut salasilah keturunan di sebelah ibu.

Rombongan Nusaleisure Travel Sdn Bhd seramai 70 orang menggunakan penerbangan AirAsia dan mengambil masa kira-kira satu jam 10 minit dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Minangkabau.

Padang bukanlah kota metropolitan seperti Jakarta atau Kuala Lumpur. Malah, pembangunannya tidak jauh bezanya dengan Alor Star, Kedah.

Padang menawarkan kehijauan alam semula jadi dengan pemandangan sawah padi di banjaran bukit serta perkampungan tradisional selain pantai menarik.

Antara destinasi lain, Muzium Adityawarman di Jalan Diponegro. Keunikan muzium ini dibina berbentuk rumah gadang (besar) atau rumah adat masyarakat Minangkabau yang mengandungi lebih 6,000 koleksi.

Pantai Air Manis, kira-kira sejam perjalanan dari pusat bandar menawarkan lokasi terbaik untuk bersantai di samping memaparkan legenda anak derhaka bernama Malim Kundang yang disumpah ibunya menjadi batu.

Di tepi pantai ini, terdapat replika sebuah kapal batu yang dibina semula dengan pelbagai peralatan dan tempayan berisi harta.

Selain itu, di tengah pusat bandar terdapat pasar yang dibuka seawal jam 7 pagi hingga 6 petang. Ia menjual buah-buahan, cenderamata dan pakaian.

Bandar itu turut meriah dengan bunyian hon van penumpang atau angkutan kota (angkot) yang reka bentuknya diubah suai serta dicat pelbagai warna.

Kami turut dibawa ke Bukit Tinggi. Walaupun hanya 90km dari Padang, perjalanannya memakan masa lebih dua jam kerana laluan sempit dan berliku.

Lembah Anai, kira-kira 30km dari Padang menjadi lokasi persinggahan pertama kami. Menyusuri Lembah Anai yang dikelilingi bukit bukau serta air terjun cukup mempesonakan.

Laluan ke Bukit Tinggi turut dihubungkan dengan landasan kereta api sehingga kawasan berbukit di Lembah Anai. Ia menghubungkan Pelabuhan Teluk Bayur di Padang sepanjang 155km melewati Padang Panjang, Danau Singkarak dan Sawahlunto.

Bagaimanapun, landasan kereta api itu yang dipercayai dibina pada zaman pendudukan Jepun kini tidak lagi digunakan. Namun, ia menjadi salah satu tarikan pelancong.

Menariknya di Bukit Tinggi, suhunya yang sejuk persis Cameron Highlands atau Genting Highlands. Kedudukannya di lembah dan diapit Gunung Singgalang dan Gunung Merapi menjadikan pemandangan di sini cukup indah.

Menara Jam Gadang (Jam Besar) peninggalan penjajah Belanda di tengah-tengah bandar Bukit Tinggi menjadi lokasi riadah penduduk setempat. Tidak jauh dari situ, terletak Pasar Atas dan Pasar Bawah yang menjual pelbagai barangan dan cenderamata dengan harga murah.

Di Bukit Tinggi, tiada pusat hiburan, pub atau karaoke untuk berhibur pada waktu malam. Penduduk dikatakan enggan membenarkan premis itu dibuka.

Bagaimanapun, Bukit Tinggi syurga membeli-belah terutama jika mahu membeli kain telekung, tudung serta pelbagai kain tenunan dan sulaman berkualiti tinggi yang dijual murah.

Kain telekung berkualiti tinggi dijual di antara RM30 hingga RM70.

Kain sulaman dari Bukit Tinggi dikatakan antara yang terbaik di Indonesia. Proses pembuatannya amat teliti dan mengambil masa yang lama.

Jika ke Bukit Tinggi, jangan lupa mengunjungi kawasan panorama Ngarai Sianok (Sianok Canyon) untuk melihat pemandangan lembah memukau.

Anda boleh melihat pemandangan Gunung Singgalang, selain panorama sungai dan perkampungan di dasarnya.

Kawasan itu turut menempatkan Lobang Jepang (Lubang Jepun) iaitu terowong bawah tanah ketika pendudukan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Terowong itu dikatakan lokasi persembunyian tentera Jepun selain menempatkan pejabat pentadbiran, penjara serta tempat menyeksa tawanan.

Penulis difahamkan terowong terbabit sepanjang 14 km, tetapi hanya satu km dibuka untuk pelancong.

Rombongan kami turut singgah ke Tasik Maninjau kira-kira 16km dari bandar Bukit Tinggi. Laluan berliku mungkin membuatkan kepala pusing, namun ia akan terubat apabila melihat panorama indah tasik seluas 100km persegi itu.

Tasik yang berlatarkan gunung-ganang ini mencecah kedalaman maksimum hingga 165 meter.

Berkunjung ke Padang dan Bukit Tinggi memang memberi kepuasan terutama menghayati panorama indah, mendamaikan jiwa melihat adat perpatih dan membeli-belah.


Sedutan

Harian Metro, Khamis 25Dec 2008

No comments:

Post a Comment